ads

Ahad, 8 Mei 2011

Pasrah Segalanya

Assalamualaikum,

Alhamdulillah, syukur ku panjat ke hadrat Illahi kerana masih lagi mengizinkan aku bernafas di atas muka bumi yang penuh dengan dugaan dan cabaran. Sesungguhnya tiada apa yang mampu aku lakukan tanpa izin-Nya. Dialah Maha Menguasai segalanya di seluruh semesta.

Sudah 5 bulan aku berkhidmat sebagai guru, pelbagai rintangan dan dugaan telah aku hadapi. Banyak kisah yang terjadi dalam 5 bulan ni. Yang baik dan yang menguji diri. Cerita yang pada aku tiada kesudahannya. Pada aku manusia memang mempunyai sifat rasa tidak puas hati. Aku juga kadang-kadang terasa juga rasa tidak puas hati.

Seperti yang berlaku dalam komuniti sekolah aku, pasti ada ketidakpuasan hati meskipun sebaik mana kerja yang kita lakukan. Pada aku, apa yang aku dengar adalah satu kritikan untuk aku memperbaiki diri aku. Walaupun dalam hati ini terasa aku da buat yang terbaik, tetapi masih lagi ada yang mengata di belakang. Silapnya di sini, mengapa tidak memperbetulkan kesalahan aku secara terus kepada aku???Kenapa mesti menceritakan kelemahan dan keburukan aku kepada cikgu-cikgu lain?? Buruk sangat ke aku ni??Lemah sangat ke aku ni??

Pada aku, aku tiada masalah untuk menerima kritikan daripada mana-mana cikgu mahupun pelajar, tetapi biarlah terus kepada aku sendiri. Tak perlu lah diceritakan kepada orang lain. Bila difikirkan balik, memang sakit rasa hati ini tetapi biarlah Allah saja yang memberi pengajaran kepada mereka. Mungkin perkara kata mengata dah menjadi makanan harian mereka. Semoga Allah tunjukkan jalan kepada mereka.

Bila mendengar luahan daripada rakan-rakan sejawat aku yang setimpal nasibnya dengan aku, rasa kecewa aku kembali. Kerana kritikan mereka bagaikan tidak kena. Manakan tidaknya, aku dikatakan tidak aktif semasa hari sukan semalam sedangkan hampir seminggu aku datang sekolah pada tiap-tiap petang untuk melatih pelajar2 yang masuk perbarisan untuk hari sukan dan hampir setiap hari aku tidur lewat untuk menyediakan bahan untuk P&P. Dan semasa hari sukan, aku berjemur di tengah panas untuk menjalankan tugas aku sebagai pembantu pelepas. Kecewa rasanya di hati ini hanya Allah saja yang mengetahui...

Namun, aku akan gagahkan hati ini dan tahankan telinga ini untuk menghadapai dugaan yang mendatang. Aku pasrahkan segalanya yang terjadi...Pasti ada hikmah di sebalik segala yang berlaku....

Untuk kawan-kawan sejawat aku...dengarlah lagu ini...Semoga kita semua tabah mengharungi segala dugaan..dan jangan sesekali berputus asa dari rahmat Allah...

____________________________________________________________________________

Pasrah Segalanya

Pernah hati ini terguris
Dengan fitnah dan tohmahan menghiris
Sehingga terasa diri ini hina
Kerana tiada siapa yang sudi membela
Kutabahkan hatiku harungi hidup
Biarpun tiada siapa yang menemani
Keseorangan aku di lautan sepi
Ditinggalkan mereka yang aku percayai

Namun ku tahu ada hikmahnya
Setiap segala yang menimpa diri
Kuserahkan segala padaMu Tuhan
Yang berkuasa jua mencipta
Kerana engkau MAha Mengetahui
SEgala apa yang terbuku di hati

Ya Allah tidakku terdaya lagi
Menahan dugaan yang mencabar ini
Terasa bagai noktah telah kutemui
Mengakhiri segala yang telah aku mulai
Ya Allah engkau lindungilah aku
Bekalkanlah daku dengan limpahan iman
Agar tabahku menghadapi dugaan
Agar tidakku berhenti di pertengahan

Kini di sini aku berdiri
Bersama harapan yang tulus suci
Agar terbitlah kembali menteri pagi
Setelah malamku berkalut benci

~Terima Kasih Emak~

"abang, tolong mak pergi kedai sekejap"

Masih terngiang-ngiang di telinga ayat itu sehingga sekarang.

"abang, dah solat ke belum??"

Antara ayat yang selalu diperkatakan emak yang sentiasa diingatan aku.
Namun, ape selalu aku balas...

"malas la mak" dan "jap lagi la mak"

Walau apa pun alasan atau kerenah aku lakukan, emak tak pernah merungut keletihan. Emak memang seorang yang tabah dan gigih dalam melayani perangai aku dan adik-adik2 aku yang kadang-kadang nakal nya agak keterlaluan.

Aku pernah dirotan emak kerana malas nak pergi sekolah. Mase tu aku masih lagi belajar di sekolah tadika al-arqam(setahun sebelum al-arqam diharamkan). Masih terasa lagi sakitnya dirotan emak. Tetapi masih terbayang diingatan wajah emak semasa merotan aku. Emak merotan aku kerana sayang kan aku. Walaupun banyak kali aku telah menyusahkan emak, emak tak pernah merungut.

Begitulah kasih sayang emak pada aku dan adik-adik aku semasa membesarkan kami adik beradik.

Kini, tibalah masa untuk aku membalas jasa emak...Walau berjuta wang aku kirimkan pada mak namun tidak terbanding dengan curahan kasih sayang emak pada aku. Tiap kali aku kenangkan masa lalu semasa emak membesarkan aku, pasti ada titisan air mata yang mengalir. Terlalu besar pengorbanan emak.

Mak, terima kasih atas segala pengorbanan dan kasih sayang mak terhadap abang...kerana didikan mak, abang berjaya...Semoga Allah panjangkan umur emak dan mengurniakan kesihatan yang baik untuk emak...

SELAMAT HARI IBU....MAK...~

Isnin, 2 Mei 2011

___Kisah Luqman Hakim dan Anaknya___

Assalamualaikum,

Semoga Allah memberkati kehidupan kita semua. Kehidupan aku sebagai seorang guru memang banyak cabaran. Cabaran bukan sahaja datang daripada pelajar sahaja tetapi datang dari guru-guru senior juga. Memandangkan aku seorang guru baru, aku turutkan juga kata-kata mereka. Walaupun aku asyik ikut kata-kata mereka,tetap masih ada yang tidak berpuas hati. Tetapi aku turutkan saja. Selepas itu pasti ada ketidakpuasan hati dari guru senior lain. Jadi, kata-kata siapakah yang harus aku ikutkan????Namun dengan rasa sabar aku turutkan jua....

Bila melihat situasi aku sekarang, aku teringat kisah Luqman Hakim dan anaknya yang sedang dalam perjalanan melalui sebuah pekan. Jadi, aku nak cerita lah sedikit berkenaan kisah Luqman Hakim ni, seorang manusia yang bukan nabi mahupun rasul yang tercatat namanya dalam al-Quran...sama-sama la kita ambil iktibar dari kisah ini...
_____________________________________________________________________________________

Dalam sebuah riwayat menceritakan, pada suatu hari Luqman Hakim telah masuk ke dalam pasar dengan menaiki seekor himar, manakala anaknya mengikut dari belakang. Melihat tingkah laku Luqman itu, setengah orang pun berkata, 'Lihat itu orang tua yang tidak bertimbang rasa, sedangkan anaknya dibiarkan berjalan kaki."

Setelah mendengarkan desas-desus dari orang ramai maka Luqman pun turun dari himarnya itu lalu diletakkan anaknya di atas himar itu. Melihat yang demikian, maka orang di passar itu berkata pula, "Lihat orang tuanya berjalan kaki sedangkan anaknya sedap menaiki himar itu, sungguh kurang adab anak itu."

Sebaik saja mendengar kata-kata itu, Luqman pun terus naik ke atas belakang himar itu bersama-sama dengan anaknya. Kemudian orang ramai pula berkata lagi, "Lihat itu dua orang menaiki seekor himar, adalah sungguh menyiksakan himar itu."

Oleh kerana tidak suka mendengar percakapan orang, maka Luqman dan anaknya turun dari himar itu, kemudian terdengar lagi suara orang berkata, "Dua orang berjalan kaki, sedangkan himar itu tidak dikenderai."


Dalam perjalanan mereka kedua beranak itu pulang ke rumah, Luqman Hakim telah menasihatai anaknya tentang sikap manusia dan telatah mereka, katanya, "Sesungguhnya tiada terlepas seseorang itu dari percakapan manusia. Maka orang yang berakal tiadalah dia mengambil pertimbangan melainkan kepada Allah S.W.T saja. Barang siapa mengenal kebenaran, itulah yang menjadi pertimbangannya dalam tiap-tiap satu."

Kemudian Luqman Hakim berpesan kepada anaknya, katanya, "Wahai anakku, tuntutlah rezeki yang halal supaya kamu tidak menjadi fakir. Sesungguhnya tiadalah orang fakir itu melainkan tertimpa kepadanya tiga perkara, iaitu tipis keyakinannya (iman) tentang agamanya, lemah akalnya (mudah tertipu dan diperdayai orang) dan hilang kemuliaan hatinya (keperibadiannya), dan lebih celaka lagi daripada tiga perkara itu ialah orang-orang yang suka merendah-rendahkan dan meringan-ringankannya."
____________________________________________________________________________________
Jadi, manusia memang tak kan terlepas dari percakapan manusia yang lain. Apa yang boleh dilakukan aku sekarang hanyalah SABAR saja. Walaupun aku rasa seperti dipergunakan. Insyaallah, ALLAH itu adil, segala apa yang kita lakukan pasti ada pembalasannya. Yang penting aku buat kerja aku dan tak kacau periuk nasi orang...
Semoga apa yang aku lakukan diberkati ALLAH....

Ahad, 1 Mei 2011

Kerana Sabar Juga Kunci Syurga

Sabar... satu perkataan ringkas yang memberi impak yang besar pada diri manusia. Sifat sabar ini berjaya 'memandu' tindakan manusia dalam kehidupan seharian. Adanya sifat sabar ini membolehkan ramai manusia hidup dalam keadaan aman damai seperti sekarang.

Dengan sifat sabar ini, seorang guru mampu terus menjadi seorang guru walaupun berhadapan dengan ragam pelajar yang bermacam-macam karenah.

Dengan sifat sabar ini, seorang ibu mampu membesarkan anak-anak yang ramai walaupun ketika kecil, anak-anak biasanya sangat nakal dan tidak mendengar kata kerana mereka masih tidak mengerti kata-kata ibunya.

Dengan sifat sabar ini, hubungan persahabatan terus berkekalan walaupun kadang-kadang dalam bersahabat, kita selalu diuji dengan sikap rakan yang mengundang rasa kecil hati.

Dengan sifat sabar ini, ramai manusia telah berjaya menjadi orang hebat kerana berjaya melalui pelbagai kesusahan ketika menuntut ilmu.

Dengan sifat sabar ini juga, suami dan isteri terus bahagia menjalani kehidupan walaupun setiap pasangan biasanya akan diuji sepanjang berada di alam rumah tangga. Kata orang, 'sedangkan lidah lagikan tergigit, inikan pula suami isteri'.

Cuba kita bayangkan situasi dimana sifat sabar ini sudah tidak ada langsung dalam diri manusia, walaupun sekelumit.

Tanpa sifat sabar, bilangan guru akan berkurang kerana ramai orang yang tidak sanggup lagi menjadi guru untuk melayan karenah pelajar yang kadang-kadang mengundang rasa marah dan sedih di hati.

Tanpa sifat sabar, anak-anak kecil akan membesar dalam keadaan yang tegang tanpa kasih sayang kerana tidak ada lagi sifat sabar dalam diri ibu bapa dalam sepanjang membesarkan anak-anak kecil yang masih tidak mengerti.

Tanpa sifat sabar, hubungan persahabatan tidak lagi seindah yang dirasakan sekarang kerana setiap orang tidak dapat bersabar lagi dengan sikap rakan masing-masing dan tiada lagi sifat sabar dalam diri yang mendidik hati berlapang dada dan saling memaafkan.

Tanpa sifat sabar, tiada lagi lahirnya orang-orang hebat kerana semua orang tidak sanggup menghadapi kesukaran ketika belajar dan berputus asa saat-saat diuji dengan kesukaran.

Tanpa sifat sabar, alam rumah tangga tidak akan bertahan lama kerana tiada lagi sifat sabar dalam diri pasangan masing-masing untuk bertolak ansur antara satu sama lain.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud:

Maka bersabarlah (wahai Muhammad terhadap ejekan golongan yang kafir itu), dengan cara kesabaran yang sebaik-baiknya. (Surah Al-Ma'aarij:ayat 5)

Ya, saya suka ayat ini. Ketika sedang menahan marah dan menahan sedih, ayat ini benar-benar memberi motivasi kepada saya. Bagaimana Allah memerintahkan kita untuk bersabar, malah bersabar dengan kesabaran yang baik.

Sememangnya dirasakan sabar ini merupakan sesuatu yang sangat perit sehingga kadang-kadang hati kita mengeluh.

" Asyik sabar je, penat dah sabar ni!"

Kita tidak perlu fikirkan lagi, mengapa kita bersabar dan berapa kali kita bersabar dalam hidup ini kerana saya ingin mengajak anda melihat apa yang dapat kita peroleh dari sifat sabar ini.

Apabila kita bersabar, kita sebenarnya dianugerahkan satu rasa yang tidak semua orang mampu merasainya, iaitu rasa ketenangan. Ketenangan ini bukan semua orang mampu merasainya melainkan orang-orang yang menjalani kehidupan mengikut apa yang Islam anjurkan. Percayalah dengan sifat sabar ini, dalam keadaan tidak sedar kita telah menyelamatkan banyak hubungan persahabatan daripada terputus, dengan sifat sabar ini kita boleh hidup aman damai seperti sekarang, dengan sifat sabar ini kita menjadi dewasa sehingga kini. Lihatlah betapa besarnya impak sabar untuk menjadi kehidupan harmoni.

Untuk anda yang sedang diuji, dalam hati ini hanya ada dua pilihan, sama ada nafsu ataupun iman. Jika menang nafsu, maka kalahlah iman, jika menang iman maka musnahlah nafsu. Kita yang perlu menilai dan memilih. Apabila diuji, kita mahu memilih nafsu untuk terus marah, atau kita memilih pilihan yang paling tepat iaitu iman dan sabar. Lihat pada impaknya, jika kita memilih untuk marah, hati kita akan dikuasai rasa marah yang menghilangkan rasa tenang, malah boleh jadi kita bertindak diluar batas fikiran kita yang akhirnya memberi kesan negatif pada kehidupan kita ketika itu. Namun, jika kita memilih untuk bersabar, insyaAllah kita diberi ketenangan untuk membantu kita mengambil tindakan yang tidak memburukkan lagi keadaan.

Saya bagi satu contoh yang mudah. Ditakdirkan anda terpaksa menjalani kehidupan dengan seorang rakan yang sangat pentingkan diri sendiri. Setiap tindakannya pasti memberi kebaikan pada dirinya dan kita sentiasa menjadi mangsanya. Setiap perbuatan dan kata-katanya sentiasa membuat kita berkecil hati. Disini, anda hanya ada dua pilihan, memilih untuk terus bersabar dan bertahan sepanjang anda menjalani kehidupan dengannya, atau anda memilih untuk bermasam muka dengannya akibat sakit hati yang menguasai diri. Jika anda memilih untuk bersabar, anda mampu menjaga keharmonian persahabatan dengannya, namun jika anda memilih untuk bermasam muka, pastinya memberi kesan yang tidak baik dalam hubungan persahabatan itu sendiri.

Namun sahabat, perlulah kita ingat bahawa kita ini manusia, kita bukan malaikat untuk terus menjadi sempurna di mata orang lain. Sabar manusia itu ada juga batasnya dan kadang-kadang orang yang paling banyak bersabar, sekali dia 'meletup' huru-hara jadinya. Oleh itu, perlunya fungsi kita meletakkan diri kita ditempat orang lain. Malah jika kita jenis yang pentingkan diri sekalipun, sebelum bertindak, kita perlu berfikir bagaimana rasanya jika kita berada ditempat orang yang teraniaya itu.

Sebelum kita bunuh orang, cuba kita bayangkan diri kita menjadi orang yang dibunuh itu.

Sebelum kita melemparkan kata-kata yang mampu mengguris hati orang lain, cuba bayangkan diri kita yang dilemparkan kata-kata itu.

Jika kita mampu meletakkan diri kita ditempat orang lain, saya yakin manusia tidak akan menzalimi sesama manusia lagi.

Sabar itu bukan perlu pada waktu-waktu tertentu sahaja, tetapi ia perlu setiap masa dan dimana jua kerana hidup kita tidak pernah lari dari diuji dengan pelbagai jenis dan bentuk ujian. Teruskan langkah dalam kehidupan ini tanpa menoleh ke belakang lagi, kerana di depan sana ada syurga menanti kita. Cubalah memahami untuk diri kita difahami, cubalah bertolak-ansur, supaya orang lain juga mudah bertolak ansur dengan kita. Janganlah sentiasa mencari salah orang lain, supaya orang lain tidak mencari salah kita. Nasihat ini untuk diri saya sendiri, dan juga untuk kamu wahai sahabat.