Beberapa hari yang lepas kita digemparkan dengan paparan berita utama media arus perdana tentang kematian seorang pelajar perempuan sebuah sekolah menengah arab Ismaliliyah di Kelantan. Pelajar perempuan berusia 17 tahun itu mengalami pendarahan yang teruk akibat keguguran. Ini adalah satu lagi kes berkaitan dengan seks luar nikah.
Apa yang dikesali ianya berlaku di sebuha sekolah arab yang saya percaya penerapan nilai- nilai keagamaan itu adalah dilaksanakan secara menyeluruh. Namun saya tetap percaya dalam hal ini bukan nilai- nilai Islam itu yang salah tetapi bagaimana ia dilaksanakan secara memaksa dan tidak bijaksana menjadi punca ada sebahagian pelajar memberontak dan merasakan Islam itu bukanlah yang terbaik bagi mereka.
Kalau kita melihat lagi masalah sosial dalam kalangan remaja sekolah adalah lumba haram, mat rempit, minah rempit, punk, skinhead dan macam- macam lagi. Namun belum ada solusi konkrit mengatasinya. Ini bukan tanggungjawab Kementerian Pelajaran apatah lagi guru semata- mata tetapi jugak institutsi politik. Sekolah sudah cukup terbeban dengan dasar itu dan ini dan perubahan yang tak henti- henti oleh ahli politik berhubung dengan pendidikan nasional.
Saya suka mengaitkan ini sebagai kecelaruan peranan dan tanggungjawab mereka sebagai pelajar. Jika seseorang yang masuk penjara maka dia akan dikenali sebagan banduan dan bukannya badut. Sangatlah pelik kalau seorang yang masuk penjara dipanggil sebagai badut. Begitu juga jika seorang polis memakai pakaian seragam polis maka dia akan dipanggil polis bukannya orang makan suap. Begitu juga pelajar, jika dia ke sekolah dengan pakaian seragam sekolah maka dia dipanggil sebagai pelajar bukannya samseng, budak bodoh atau budak jahat atau kaki ponteng.
Fitrahnya dan hakikinya dia adalah seorang pelajar. Anggapan orang luar, budak itu ke sekolah untuk belajar maka dia adalah pelajar. Orang itu dipenjara maka dia adalah banduan.
Namun adalah pelik dan janggal kalau seorang budak ke sekolah kemudiaanya dipanggil sebagai samseng, kaki buli atau pencuri. Maka ada sesuatu yang tidak kena dengan budak tersebut. Persoalannya dia pelajar, namun adakah dia memainkan peranan sebagai pelajar? Atau dia memainkan peranan sebagai samseng, kaki buli atau pencuri? Inilah ribuan kes yang berlaku dalam kalangan remaja sekolah hari ini.
Maka itu banyaklah kes dan masalah sosial membabitkan golongan remaja di bangku sekolah termasuklah kes buang bayi, samseng jalanan, ponteng dan mencuri. Antara solusi kepada perkara ini yang dikemukakan suatu ketika dahulu adalah Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), sayangnya program ini dilaksanakan selepas mereka tamat persekolahan.
Justeru adalah penting untuk kita berterusan member ingatan dan nasihat kepada pelajar- pelajar agar mereka menyedari bahawa mereka adalah pelajar sekolah dan bertanggungjawab dan berperanan sebagai seorang pelajar yang matlamatnya adalah mencapai kecemerlangan IQ, EQ dan SQ secara optima. Kesilapan dalam penentuan matlamat ini juga adalah antara factor yang mengakibatkan ramai dalam kalangan pelajar berkenaan mengalami sindrom kecelaruan tanggungjawab dan identiti.
Sekali lagi saya menyarankan bahawa solusi terbaik dan bijaksana adalah kembali kepada Allah SWT. Tarbiah itu harus dilaksanakan secara bijaksana mendekati hati, peranan dan kehendak golongan ini. Daya penarik adalah dari pendakwah sendiri. Mereka harus tahu, wajar diberitahu dan faham akan indahnya Islam itu. Maka itu sampailah hakikat untuk menerangkan kepada mereka Islam itu Rahmatan Lil Alamin, rahmat kepada alam semesta.
Sumber: Fakhrul Ezam Shah

Tiada ulasan:
Catat Ulasan